Friday, December 31, 2010

Mengintai Bulan : Part II

Semalaman beta termenung
Ditepi jendela menghadap rembulan
Sungguh perkasa bintang-bintang itu
Senantiasa berkeliaran mengelilingi
Walaupun dihembus-hembus bayu
Tidak juga mereka pergi
Ahh walaupun ada awan-awan
Mengaburi pancaindera dari memandang terus
Mereka tegar disitu menemani di antara satu dengan yang lain
Beta disini tertanya-tanya
Tidak adakah mereka yang sudi menemani
Mengelilingi beta seperti itu
Adakah bulan itu sungguh istimewa?
Sehinggakan tiada jemu bebintang mengintai
Cemburu sungguh Beta dengan bulan itu
Mahu saja Beta perintahkan sahaya
Turunkan bulan itu dan kurungkan ia
Biar mereka hanya memandang Beta
Dan hanya Beta

Thursday, December 30, 2010

Firus Dari Zirbad

Hubaya-hubaya  biaperi sekalian buana
Beta bermimpi tatkala purnama berkembang
Seorang biti perwara menghinakan beta
Dileher terkalung permata wilis!

Siapa yang gaplan tidak memandang?
Tulah beta kepada para pandai emas
Kanku cagar pada naga balar penjaga alam
Jika benar itu kejadian

Andun semua hamba sahaya
Firus wilis mustafi beta
Himpunkan semua waima sehalus hama
Tempat mereka dileher beta

Gaulkan emas sepuluh bercamur narwastu
Biar penuh walehar astakonaku
Tiraikan dewangga dan juga khatifah
Agar persih bahari wajah beta

Wednesday, December 29, 2010

Puan Sewindu

Bolehkah kiranya aku menadah bejana
Diatip rapi untuk begawan
Semoga bau bauan ambar ini segera pergi

Adikara adi menyusun bahari
Namun aku alah dengan masygul hati
Mahu ungsi menunggang semberani persih

Namun aku harus bersemayam
Diatas peterana pualam bersama kandil kelembak
Di zamin semerah yang mungkin sewindu

Monday, December 27, 2010

Mengintai Bulan : Part I

Terang indah cahaya sang bulan
Awan mengiring puteri rupawan
Tanpa sedar diekori bebintang
Yang cuba mengintai sebuah senyuman

Didada langit terergam bulan
Dideru angin menghanyut rasa
Aku disini, engkau disana
Padanlah hatiku seakan rawan

Lewat lorong lorong lohong
Mencari sinar yang lebih menawan
Dimana kanku mencari tuan
Biar dekat membakar membahang

Walau dinding dinding teruntuhkan
Tiada putus harapku sebelum siang
Kutahu subuh bakal menjelang
Tapi harus kutatap bulan rupawan

Thursday, December 23, 2010

Senja Yang Ungu

Wahai pendeta kersani
Aku lihat ke arah awan yang berarak itu
Bewarna ungu hebat mewarnai langit yang biru
Bilakah engkau menyumpahnya?

Puteri kedewian jelita
Aku hairan tentang keraian busanamu
Tidak pernah sepadan, tidak pernah senada
Akan tetapi xpernah menjelekkan wajah tulusmu

Kedamaian gunung keemasan indah
Kicau burung tidak pernah menghampakan
Dedaun hijau melambai mesra
Bilakah aku akan kesana?

Thursday, December 16, 2010

Pemerintahan Hati

Sepanjang perjalanan aku, tiada yang mampu mengerti kenapa dan mengapa selalu ada. Perlukah aku menganggukkan kepala? Perlukah aku menuturkan kata seperti yang mereka mahu?

Aku mengulang jawapan yang sama dalam setiap senyuman. Setiap langkah aku menjawab segala perlakuan. Kenapa hanya aku yang tidak pernah bertanya? Kenapa dan Mengapa? Kerana aku tahu semua mahu yang terbaik untuk aku.

Aku tidak perlu kosa kata indah untuk mengubati hati. Cuma sedikit pujukan mesra dan pelukan hangat sudah memadai. Mungkin kerana aku sudah berbeza. Tapi siapa mereka dan siapa tahu? Apakah hatiku ini terubat luka seperti tampak dimata.

Warna pasca merah dan kehitaman itu semakin menenggelamkan. Aku tidak mahu kehilangan dan ketinggallan. Tapi seakan ada yang memburu. Apakah benar warna permaidani ini keemasan? Atau ada seutas kalung disebalik jeriji duri?

Senyuman aku penawar duka. Tawa aku pengubat hiba. Titisan masinku masalah bersama. Cecair merah itu yang memulakan cerita. Wahai cahaya yang menyeringai dan suara yang menggegarkan, jangan menghalang pancainderaku.

Wednesday, December 15, 2010

Mimpi Semalam..

Semalam aku bermimpikan kamu. Aku bermimpikan aku. Tetapi aku tak mengerti. Siapa kamu dalam hidupku. Lebih menghairankan aku..

Siapa pula diri aku?