Friday, February 11, 2011

Mimpi Sang Puteri Tahanan

Beta berpaksikan hati yang mengelilingi bulan percintaan, kadangkala di timur, adakala di barat. Mengapa harus beta bermurung begini kerana hal itu? Beta mahu terbang bebas seperti burung merpati emas di dada langit membiru. Di sisi awan nan memutih. Memilih untuk disinari cahaya mentari yang segar selepas titisan hujan membentuk pelangi indah. 

Ah! Beta bermimpi di siang hari berteman angin yang membeku. Tiada mentari yang bersinar disini. Tiada bunyi kicau burung yang merdu. Hanya bunyi gema tapak kaki beta sendiri sendiri. Kapan agaknya kamar berdebu ini akan meluas?  Katil yang usang ini akan empuk? Beta bermimpi lagi.

Beta mahu ke puncak gunung. Abadi disitu biarpun tiada sayap menerbangkan. Supaya beta boleh melihat mentari terbit dan terbenam seindah yang diperkatakan. Beta mahu menyentuh kabus yang berarak. Beta mahu menunggu bahtera menjemput beta. Terbang membelah awan dan lautan. Akankah ia terjadi? Namun beta masih menunggu.

No comments:

Post a Comment